Tuesday, June 30, 2015

KERANA ROTI ARAB

Petang itu keadaan masjid Nabawi tidaklah terlalu sesak. Barangkali kerana ia masih di awal Ramadan. Kebiasaannya jemaah dari seluruh dunia membanjiri masjid Nabawi selepas lima belas hari berpuasa.
 
Kami berniat mahu merasai suasana berbuka di luar masjid. Sengaja mencari pengalaman yang digerakkan melalui permintaan Sofea. Sudah berhari-hari iftar kami di dalam masjid. Juadahnya sangat ringkas. Rotab (tamar segar separuh masak), pelbagai jenis roti arab, Arabic khubz, Zalabi (dadih) dan rempah dukkah.
 

 
Kelihatan suasana di dataran meriah sekali. Mata mencari-cari saperah yang boleh diisi. Namun ada sedikit pilihan hati. Kami mahu mencari saperah mempunyai rotab dan tamar segar. Bila mata dan hati bersatu, kami segera mengambil tempat di ruang kosong yang menjadi pilihan. Tiba-tiba terdengar suara lelaki meninggi disertai suara wanita berteriak-teriak.
Ya Haji ... berikanlah saya roti itu! Kenapa kamu tidak mahu berikan kepada saya?
Wanita Mesir yang telah berusia serta berbadan gempal menjadi tumpuan ramai. Lelaki yang telah diamanahkan tuannya mengagihkan roti tetap berkeras. Beliau memarahi dan tidak mempedulikan wanita itu. Beliau meneruskan tugasnya.
 
Wanita itu segera mengutip roti-roti yang telah tersusun di atas saperah. Lelaki itu berpatah balik ke belakang dan dengan pantas menarik roti-roti dari tangan wanita tersebut. Suasana tegang. Sungguh tegang 
Ya hajjah ... saya tahu sudah ada banyak roti yang tersembunyi dalam jilbab kamu. Cukuplah ... usah tamak nanti membazir. Berapa banyak yang kamu mahu? Ramai lagi yang belum dapat roti untuk berbuka puasa.
Pertengkaran berterusan apabila wanita itu masih berdegil. Beliau duduk sebentar kemudian pergi kepada saperah lain dan mula mengutip roti-roti di sana pula. Lelaki petugas di saperah itu berlari-lari dan wanita itu berteriak-teriak memarahinya pula.


Allah ya Allah. Kami tunduk diam melihat kejadian tersebut. Terasa malu melihat akhlak serta perlakuan seumpama itu. Saya fikir ia  menjatuhkan maruah dan martabat wanita. Saya merenung Sofea sambil berkata:
Esok kita berbuka di dalam masjid. Makan apa sahaja yang dihidangkan ...
Peristiwa itu mengembalikan ingatan ketika kami menziarahi Kaherah,  ibu negara Mesir. Mata terpegun melihat roti-roti (Arabic khubz) yang mengelembung cantik lagi menyelerakan di sepanjang pinggir jalan laluan kami. Sungguh, saya  berhasrat mahu merakamkan gambar untuk tujuan penulisan tetapi tidak pernah berkesempatan.
 
MasyaAllah ... Subhanallah ... AllahuAkbar. Niat semudah itu - akhirnya  - dimakbul Allah. Ketika berkunjung ke universiti al-Azhar, kami melawat  masjid Hussin (cucu Rasulullah SAW) yang berada hampir dengan universiti.
 
 
Hati sungguh teruja apabila melihat masjid bersejarah ini. Bertambah girang apabila melihat kelibat seorang penjual roti Arab. Pemandu pelancong yang bersama kami bercerita:
 
Roti diberikan secara subsidi kepada rakyat Mesir. Matawang Mesir dikenali sebagai Egptian pound. Namun sebutan genih digunakan oleh kebanyakan orang. Satu Genih mereka boleh mendapatkan 5 - 6 keping roti. Murah.
 
 

Lima keping roti nilainya satu genih (2 genih lebih kurang bersamaan RM1.00). Tiba-tiba saya terdetik untuk mengambil gambar bagi memuatkan ke dalam buku terbaru - siri Bukan Sekadar Resipi - Di sebalik Niqab.
 
Lalu, suami meminta kebenaran penjual dengan membayarnya sebanyak 5 genih. Jika membelinya kami berhak mendapat 25 - 30 keping roti tersebut. Namun, itu bukan tujuan. Tidak tergamak melihatkan keadaannya yang terdedah dan tidak bertutup. Saya khuatir ia boleh memudaratkan (Nota: rasa hati orang Malaysia).
 
Penjual roti itu membenarkan. Lalu, kami mengambil beberapa keping gambar roti berkenaan. Usai mengambil gambar, penjual itu berkata;
Boleh saya berikan roti ini kepada pengemis di tepi jalan?
Kami bersetuju dengan cadangan. Ya ... tidak terfikir pula untuk bersedekah. Lalu, penjual roti mengambil beberapa keping (lebih kurang 10 keping) dan mengagihkan kepada beberapa pengemis berhampiran. Kelihatan beliau mahu menghabiskan kesemua rotinya. Kami beredar meinggalkan beliau menuju ke kereta. Tiba-tiba penjual roti itu berteriak:
Penipu! Penipu! Jangan lari. Awak kena bayar USD100. Jika tidak kami tangkap awak!

Pengemis-pengemis dan orang ramai mula mengerumuni ke arah kereta kami. Penjual itu menjerit-jerit dan berkeras mahu kami menyerahkan USD100. Kami segera berlari ke dalam kereta. Menutup semua tingkap dan mengunci pintu. Penjual itu mengetuk tingkap kereta dengan sebatang kayu.
 
Kami cemas.
 
Malas bergaduh dan memanjangkan cerita serta rasa takut, suami menghulurkan 20 genih tambahan kepada penjual roti. Pemandu kami segera memecut kereta. Sungguh ... kami benar-benar terasa kecut perut!
 
Lalu, setiap kali memandangkan foto yang diambil di sekitar masjid Hussin, Kaherah ... peristiwa tersebut kembali menerpa ingatan. Perasaan cemas, gerun, gementar serta malu masih terasa-rasa. Jika boleh diputarkan masa ... kami tidak mahu mengulanginya. Inilah hasil rakaman foto untuk dikongsikan bersama.

 
 
Apabila pulang dari bercuti, kami kongsikan pengalaman bersama rakan di Madinah, Sheikh Khalid dan isterinya, Iman. Mereka keturunan Palestine yang sudah lama menetap di Madinah. Sheikh Khalid tertawa besar  melihat bagaimana cemasnya kami bercerita. Beliau berkata secara berseloroh:
Ya Sheikh ... sebab itu rakan-rakan di seluruh Timur Tengah bercerita - ada dua perkara tentang orang Mesir.
Pertama, jika mereka menjerit-jerit meminta bayaran apabila mengambil foto bersama mereka di tepi jalan, jeritlah kembali kepada mereka, "kamu patut bersyukur ada juga orang mahu mengambil gambar kamu!".

Sheikh Khalid meneruskan lagi sambil terhenjut-henjut tertawa geli hati. Beliau bercerita sambil membulatkan matanya:
Kedua, kalau kamu bersalaman dengan mereka, sesudah bersalam, sila semak jari-jemari kamu. Pastikan kamu masih  mempunyai sepuluh jari.
Kali ini kami pula tertawa. Kami hanya menerimanya sebagai kisah-kisah lucu serta guruan sesama benua. Rupa-rupanya ia pengalaman telah dilalui oleh ramai pelancong yang berkunjung ke sana. Benar, kami berharap yang ia hanya kisah terpencil melanda kami sekeluarga. Ia tidak begitu.
 
Allahu Akbar! Saya dan Sofea masih menunggu hidangan sebenar di saperah. Setengah jam sebelum azan, kami terdengar riuh rendah beberapa orang lelaki menolak periuk-periuk besar. Terdapat sesusun dulang kecil berhampiran. Tudung periuk di buka perlahan-lahan. Kami terhidu haruman yang menyelerakan.

Aromanya meruap-ruap!

Monday, June 29, 2015

AIR BIJI TAMAR


Suhu panas Ramadan terasa membahang. Rumah kebanyakan penduduk Madinah pastinya memasang pendingin udara sepanjang 24 jam. Sebaik sahaja keluar rumah haba panas terus menerpa muka. Suhu di telefon bimbit mencatat:
Madinah al-Munawarrah 52 darjah Celcius!

Panas membaham buat manusia tetapi ia suhu sesuai bagi proses meranumkan buah-buah tamar. Panas atau tidak, kami harus segera ke masjid satu jam lebih awal. Waktu Asar sekitar 3.45 petang. Sekiranya terlewat, kereta harus beratur panjang untuk ke ruang parkir kereta bawah bangunan masjid. Lagipun kami tidak mahu di tahan di hadapan pintu dan berakhir dengan solat di dataran masjid!
 
 
Alhamdulillah ... kami mempunyai tempat letak kereta sendiri di parkir bernombor 11 A. Ia nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kami dan keluarga. Kemudian, saya dan Sofea menaiki tangga bergerak melalui dataran masjid Nabawi menuju ke pintu utama. Sepanjang jalan kami melihat seperah berbuka puasa sudah dihamparkan. Terdapat juadah berbuka puasa (iftar) terhidang.
 
 
Kaki berjalan pantas, mata mengerling saperah di ruang dataran. Ia hidangan mewah berbanding dengan juadah jemaah di dalam masjid. Tiba-tiba Sofea berkata, 

Mama, hari ini kita berbuka di luar ya. Sofea mahu rasa suasana di luar pula.
 Saya tersenyum mengerling ke arah Sofea. Apalah yang diketahui tahap-tahap berpuasa bagi anak berusia 9 tahun. Saya mengangguk. Ada keterujaan apabila bersama anak kecil seusia ini.

Kenapa?
 
Keterujaan pertama. Kami cepat-cepat berjalan melepasi pengawal di muka pintu utama. Beg dan badan kami di periksa. Pada satu ketika pihak masjid begitu berkeras dengan penggunaan telefon bimbit. Tambahan pula jika berkamera. Ia tidak dibenarkan. 

Rakam (telefon bimbit) fi cambera? ( Telefon ada kamera?)

 Kami terlepas kerana telefon disembunyikan di dalam setokin. Ada sesetengah jemaah tertangkap kerana pengawal berjaya mengesan telefon yang disembunyikan  di dalam baju dalam ... (nota: alahai masih juga mahu melanggar peraturan). 

Jika itu terjadi - kebiasaannya - hukumannya pengawal tidak membenarkan jemaah masuk ke dalam masjid atau mereka di minta menyimpan telefon di pejabat di sekitar pintu 26.
 
Keterujaan ke dua. Kami segera menuju ruang di saf bahagian hadapan. Di situ terdapat seorang lagi pengawal berada di muka pintu. Sofea menanggalkan niqab saya lalu di pakainya bagi menutup wajah keanak-anakannya.

Keterujaan ke tiga. Apabila mahu melepasi pengawal, Sofea berjalan secara meninjit agar kelihatan lebih tinggi beberapa inci dari ketinggian sebenarnya. Ruang itu pemisah di antara ruang ibu bersama anak-anak kecil.
 
Alhamdulillah! Pengalaman lalu membuatkan kami berfikir ligat. Sering Sofea terlepas.

Kami mencari tempat selesa untuk solat. Usai sembahyang, kami melihat lebih ramai jemaah berpusu-pusu masuk ke dalam. Sementara saperah di dalam masjid mula di hamparkan.
Mama... hari ini kita bebuka di luar ya. Sofea mahu rasa berbuka di sana.
Barangkali anak itu meragukan anggukan ibunya. Barangkali anggukan itu sekadar menyedapkan hati. Kami bangun lalu melintasi hamparan saperah yang sudah saujana mata memandang. Kami melihat berjenis-jenis rotab dan tamar (kurma) di hidangkan. Ada tamar muda berwarna merah. Rasanya manis-manis kelat. Kebanyakannya dari Mesir.
 
 
Jika mempunyai pilihan maka kami lebih gemar  tamar segar penduduk Madinah. Warnanya kuning cerah. Rasanya manis dan ranggup. Jika berada di luar, ia boleh di dapati terjual di pasar kurma dan juga di pinggir jalan. Harganya berpatutan.
 
Ada saperah tersedia dengan rotab (tamar segar separuh ranggup dan separuh basah) bersama roti, zabadi (dadih) dan rempah bernama dukkah. Subhanallah ... kombinasi yang menyebabkan kami berselera. Itulah nikmat bagi mereka yang sedang berpuasa.
 
 
Sambil berjalan kami menjeling tamar-tamar terhidang. Ia berbeza-beza mengikut tempat. Lalu pilihan tempat berbuka menjadi sangat terbuka. Subhanallah ... kami mengesan tamar medjool yang super besar dan panjang. Ia tamar mewah bagi mereka yang mengetahui.
 
 
Masya Allah tabarakallah! Hebatnya tamar ciptaan Allah. Ia diceritakan di dalam quran. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya).

Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya (Terjemahan surah Ar-Raa'd).


Selain itu, seorang penduduk tempatan berpesan, "biji tamar terutama jenis Ajwa usah di buang. Kumpulkan bijinya, keringkan dan goreng tanpa minyak. Kemudian rebuslah di dalam cerek sehingga mengeleggak. Airnya seenak teh atau kopi cair. Sungguh, tidak Allah SWT jadikan sesuatu tanpa khasiat dan sia-sia...". Ia bagus untuk pengidap penyakit diabetes.

Hari itu saya melayani kehendak Sofea berbuka di luar. Sungguh ... ia satu pengalaman berharga. Bagaimana rupa makanan berbuka puasa di sana agaknya?
 

Sunday, June 28, 2015

ORANG TIMUR TENGAH

 
 
Ramadan begitu meriah di masjid Nabawi. Ramai yang bersedekah. Ada menghulurkan wang ringgit. Lazimnya mereka menghidangkan juadah berbuka. Turun temurun begitu. Hamparan saperah terbentang sepenuh masjid sehingga melimpah ke luar dataran. Tiada ruang tidak terisi.
Kita kena pergi sebelum Asar. Jika tidak ... tiada tempat bagi jemaah wanita.
Begitulah pesanan Mak Long Normah, warga Malaysia yang telah berpuluh tahun bermukim di Madinah. Lebih 40 tahun. Sejak berumahtangga beliau  sekeluarga hanya sesekali menjalankan ibadat puasa di Malaysia. Malah beliau jarang sekali pulang merayakan Aidil Fitri. Jadi pengalamannya boleh di jadikan pedoman.
 
Hubungan kami dengan keluarga Mak Long sangat mesra. Sesekali terserempak dengan beliau di masjid Nabawi mengundang rasa seronok dan teruja yang sukar diterjemahkan. Saya cukup senang dengan beliau.
 
Sungguh, saya kagum melihat ketabahan wanita berkulit putih kuning ini berkelana di bumi Anbia. Membesarkan anak-anak dan menjalani rutin kehidupan di bumi asing bukan perkara main-main. Banyak duri dan ranjau. Lalu beliau bersungguh mempelajari bahasa dan masakan Arab.
Di Makkah dan Madinah ... kita harus banyak bersabar dengan kerenah orang timur tengah. Bukan semua mereka berbangsa Arab. Ada bersikap angkuh dan ada yang bersikap kasar. Tetapi ... ramai juga yang baik hatinya. Mereka yang berharta, suka bersedekah. Jika kita rapat dan dipercayai oleh mereka. Insya Allah, mereka sanggup berhabis harta kerana kita.
 Mak Long bercerita sambil tertawa kecil. Tersirat, beliau mengajar dan berpesan kepada saya yang menjalani kehidupan di bumi Madinah. Kuliah melalui ilmu kehidupan.
 
Orang Timur Tengah? Ketika di masjid Nabawi, kami menjadi pemerhati kepada pelbagai bangsa dari penduduk Timur Tengah. Setelah tiga tahun bermukim di sini, barulah kami dapat membezakan mereka.

 
 Kebanyakan mereka yang berniqab datangnya dari semenanjung Arab. Mereka dikenali sebagai Arab Saudi. Selain dari jajahan itu mereka tidak diiktiraf sebagai "Saudi". Orang Saudi sangat berbangga dengan bangsa dan keturunan mereka. Kebanyakan mereka berasal dari padang pasir di panggil orang Badwi.


Terdapat kumpulan yang suka menconteng muka umpama tatoo dan kebanyakannya berasal dari utara Iraq dan sempadan tenggara Turki.
 
 
Wanita Iran sering membawa dua helai kain - pakaian luar umpama gebar besar. Kain besar berwarna hitam digunakan untuk berjalan keluar rumah. Manakala kain bercorak digunakan untuk sembahyang. Mereka selalunya berfahaman syiah. 

Biasanya saya melihat mereka datang ke masjid Nabawi selepas waktu Asar dan bersembahyang sebanyak-banyaknya.  Apabila azan maghrib berkumandang, mereka beramai-ramai pulang.


Wanita Turki pula suka datang secara berkumpulan. Kehadiran mereka disenangi ramai. Kebanyakan mereka suka membawa gula-gula dan kekacang. 

Mereka ceria dan gemar berkongsi makanan yang dibawa dengan jemaah sebaris saf. Semasa anak bungsu kami - Farah Sofea - berumur 8 tahun, beliau sering di peluk oleh kumpulan ini. Apa yang ada di tangan akan diberikan kepada Sofea.


Pembawaan wanita Mesir yang datang menziarahi Madinah ketika musim haji dan umrah amat ketara. Agakan saya, mereka yang tidak berpelajaran tinggi bersikap agak kasar. Melihat mereka hati jadi terharu dan sebak. Barangkali kemiskinan membuatkan mereka bersikap "mementingkan diri"  dan berebut-rebut apabila dihulurkan makanan.



Namun, mata sentiasa mengagumi kumpulan wanita kaya lagi bergaya dari United Arab Emarates. Mereka berpakaian kemas serta gemar barangan berjenama lagi mahal. Bagaimanapun, ketika duduk sebaris di saf, perawakan mereka mesra. Mereka boleh bertutur menggunakan bahasa Inggeris dengan baik.
 

Diam-diam hati berbisik, "Ya Allah ... rupa-rupanya walaupun berbahasa Arab tetapi loghat mereka berbeza."

Akhirnya saya merenung diri. Melihat negara sendiri yang tidak sebesar mana pun mempunyai pelbagai loghat berbeza. Orang Terengganu berbeza dengan orang Kelantan. Orang Pulau Pinang, Kedah dan Perlis walaupun kelihatas seiras namun relitinya mereka berbeza. Apatah lagi Sabah dan Sarawak.

Bukankah kita juga berbeza bahasa dan budaya? 
 

Friday, June 26, 2015

SECANTIK WAJAH

SECANTIK WAJAH

Hari itu kami bergegas turun dari pejabat Madrasah masjid al-Nabawi. Ruang pejabat yang terletak di tingkat 2 berhampiran pintu 25 itulah tempat biasa kami menunggu abla (guru) Khadejah untuk bertalaqi.
 
Kamu diminta ke ruang bersebelahan pintu 27 ... hari ini ada kelas Tauhid ... itu pesan abla khadejah. Abla Busra sedang menunggu kamu. 
 
Seorang pegawai bertugas menegur kami di dalam bahasa arab.
 
 
Sebenarnya ... itu agakan sahaja. Maklumlah kami antara pelajar antarabangsa yang masih buta bahasa Arab. Dari kejauhan, kelihatan sudah ramai pelajar berhimpun di atas karpet merah dalam ruang itu. Bersebelahan tiang, ada sebuah kerusi.
 
Saya melihat seorang wanita cantik duduk di atas kerusi yang disediakan khas di masjid Nabawi. Kerusi khas itu begitu istimewa. Bukan calang-calang yang mampu mendudukinya.

Saya tekun mendengar tutur katanya yang tersusun cantik. Secantik wajahnya. 
 
"Barangkali ini abla Bushra."
 
Wajah secantik itu tiada lelaki bukan mahram dapat melihatnya jika di luar masjid Nabawi. Ia tersembunyi di sebalik niqab. Pemiliknya berpakaian Saudi abaya berwarna hitam serta longar besar. Labuhnya berjela. Tiba-tiba salah seorang rakan berbisik:
 
Kata abla Khadejah kelas Tauhid ini dalam bahasa Inggeris ... tetapi kenapa abla ini berbahasa Perancis?
 
Saya hanya mengangkat bahu menandakan tidak tahu. Sebenarnya berasa tidak selesa berbisik-bisik ketika kuliah sedang berlangsung. Lagi pun amalan berbisik-bisik barangkali boleh mendatangkan fitnah atau syak wasangka. Apatah lagi di hadapan orang yang dimaksudkan. 
 
 
 
(Surah Al-Mujadilah: 9)

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berbisik-bisik sesama sendiri, maka janganlah kamu berbisik-bisik untuk melakukan dosa dan pencerobohan serta perbuatan derhaka kepada Rasulullah dan (sebaliknya) berbisiklah untuk berbuat kebajikan dan bertakwa dan hendaklah kamu tetap bertakwa kepada Allah yang kepadaNya kamu semua akan dihimpunkan (pada hari kiamat untuk dihitung amal kamu dan menerima balasan).

Mata wanita cantik itu mengerling ke arah kami. Namun beliau masih meneruskan kata-katanya. Kami melihat rakan sepengajian yang mahir dan memahami bahasa Perancis khusyuk mencatat ke dalam buku latihan.
 
Kami hilang punca.
 
"Sudahlah tidak faham bahasa arab, dihantar pula ke kelas bahasa ini." hati berkata-kata tanpa paksa.
 
Rakan-rakan seperjuangan senasib (hanya faham bahasa Inggeris)  memandang ke arahnya sambil berusaha berpura-pura memahami pelajaran yang mahu disampaikan. Memang usaha sia-sia!
 
Dalam  diam hati berbisik lagi,"Kalau begini ... apa ilmu yang dapat ditimba? Patutlah ilmu perlu disampaikan dalam bahasa yang boleh difahami oleh penerima. Baru ia menjadi ilmu bermanfaat."
 
Usai memberikan kuliah. Abla Bushra melemparkan senyuman ke arah kami. Beliau berkata,
 
Kelas tauhid yang disampaikan dalam bahasa Inggeris diadakan selepas waktu Asar. Waktu antara maghrib dan Isyak di dalam bahasa Perancis. Kalau ramai yang bertutur dalam bahasa Inggeris mahu datang waktu ini, Insya Allah saya maklumkan kepada mudaris (pengetua) di pejabat nanti.
 
Kami berpandang-pandang sesama sendiri sambil tersipu malu. Begitulah akibat tidak memahami notis berbahasa Arab yang tertera di papan notis di pejabat. 
 
Dalam hati masing-masing mengakui kesilapan dan barangkali berkata," Ya Allah ... kami tersalah masuk kelas rupanya!"
 
Dalam waktu yang lain, ketika bertalaqi dengan abla Khadejah, saya melihat abla Bushra berada di tepi sudut meja. Tiba-tiba abla Khadejah memandang abla Bushra dan memperkenalkan saya kepadanya. Usai bertalaqi, abla Bushra mengiringi saya keluar dari pejabat. Dengan mesra beliau berkata,
 
Saya difahamkan kamu mengajar di universiti Taibah? Boleh rekomen saya untuk mengajar di sana? Saya memiliki dwi-sarjana di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis serta Usulluddin. Berasal dari al-Jazeer, utara Afrika.
 
"Masya Allah Tabarakallah ... ada juga orang Afrika yang putih dan cantik rupanya." Terkeluar secara spontan apa yang terlintas di hati.

Beliau hanya tertawa mendengar sanjungan. Begitulah, di sebalik niqab itu sebenarnya ada wajah cantik kepunyaan wanita bijaksana lagi berwibawa. Bushra begitu cantik ilmunya, akhlaknya secantik orangnya.
 
Subhanallah!
 
 


 

Thursday, June 25, 2015

BERDOA

BERDOA


Ramadan mengingatkan kami kenangan semasa bermukim di Madinah al-Munawarrah. Ia kenangan terindah.

Malah rumah kecil kami di Jabal Uhud menjadi saksi segala kenangan itu. Barangkali rumah kami kecil sahaja namun kami berbesar hati menyambut sesiapa sahaja tetamu yang sudi bertamu.
 
Adakalanya anak-anak malu menerima rakan-rakan kerana keadaan rumah itu. Kata mereka," Rumah kita miskin ... tiada perabot. Tetamu datang terpaksa bersila."

Sebagai ibu saya cuba memberitahu mereka," Usah malu dengan apa yang kita ada. Biar nampak miskin tetapi kaya jiwa. Kekayaan sebenar adalah di sisi Allah. Kita meraihnya di akhirat."
Diam-diam sebenarnya kami mahu kaya di dunia agar boleh melabur saham di akhirat.

Di sana ramai yang menitipkan doa. Kata mereka," doa-doa orang di tanah suci Madinah lebih di dengar Allah..."

Barangkali mereka belum terbaca atau dibacakan sepotong ayat Qur'an secara jelas menerangkan tentang doa. Allah SWT berfirman bermaksud:

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (186) (Surah al-Baqarah)

Sungguh, Allah maha mendengar bisikan hati, yang tekandung dalam dada. Berdoalah walau dimana pelusuk dunia.

Kenangan itu mengusik hati...malah berbekas.