Monday, August 10, 2015

ZAITOON

Menunggu waktu berbuka puasa di Masjidilharam sentiasa indah. Hari itu juga tidak terkecuali walaupun masih ada sejam lagi. Jemaah sibuk dengan urusan sendiri.
 
Ia sentiasa menarik perhatian.
 
Misalnya, gaya berdoa sahaja pelbagai. Ada berdiri menghadap kaabah, ada yang sujud dan ada pula yang bertimpuh. Namun kelaziman ketara ialah memegang sambil khusyuk membaca mushaf al-quran.
 
Tiba-tiba telinga saya terdengar suara tegas memberitahu:
 
Ya hajjah ...jangan membazir! Air zam-zam di dalam tong ini untuk di minum bukan membasuh botol atau membasuh tangan. Pergi ke paip di belakang. Ambillah sebanyak-banyaknya. Kamu boleh mengambil wuduk juga di sana!

Begitulah ungkapan biasa kedengaran apabila terdapat jemaah menyalahgunakan penggunaan air zam-zam di tempat yang sukar. Biasanya tong zam-zam tidak banyak diletakkan di saf bahagian hadapan.  Barangkali tidak ada logiknya menggunakan air zam-zam untuk membasuh botol!
 
Suasana di dalam MasjidilHaram sentiasa menguji kesabaran. Sering berlaku jemaah yang baru usai menunaikan tawaf tiba-tiba datang dan duduk di celah-celah saf. Muka ibarat "tin sardin" tanpa menghiraukan perasaan Jemaah yang sekian lama di situ. Lalu, terdengar suara meninggi dan pertengkaran kecil berlaku.
Ya hajjah ... tempat ini milik Allah. Saya cuma mahu solat di sini.

Saya tersenyum melihat wanita bertubuh gempal itu mempertahankan diri. Beliau cuba menyelit di tengah-tengah antara saf. Lalu, wanita berkelubung hitam itu (pemilik asal tempat tersebut) melahirkan rasa hati. Beliau di bantu oleh rakan dalam saf berhampiran. Kata mereka:
Demi Allah, tempat ini telah kami duduki sejak waktu zohor. Pergilah ke saf yang masih kosong. Bumi Allah masih luas ...
Wanita  itu tetap berkeras. Beliau mahu tempat yang menghadap Kaabah dan bertentangan Multazam. Pertengkaran berlaku berpanjangan. Seorang wanita berkulit hitam melambaikan tangan menawarkan tempat. Namun, beliau menolak tetap berkeras mahukah tempat itu. 

Akhirnya, wanita berkelubung hitam itu mengalah. Tempat duduk di esot-esot menyebabkan beberapa jemaah Indonesia dalam barisan yang sama terpaksa berhimpit-himpit di hujung saf. Mereka marah-marah seketika. Sebentar kemudian suasana kembali tenang seperti sediakala.

Kami melihat wanita berbadan gempal mula membaca quran dengan suara keras dan meminta wanita berkelubung hitam menyemak bacaannya. Hairan bukan? Sejurus kemudian, mereka saling bantu-membantu seolah-olah pertengkaran tidak pernah berlaku!

Setengah jam sebelum berbuka, segala jenis tamar di agih-agihkan. Ada yang menawarkan bungkusan tamar (jenis melekit, tanpa biji)dengan cara mencampaknya ke arah jemaah. Ada rotab dan tamar kering yang dimasukkan ke dalam gelas pelastik dan diedarkan satu persatu.

Kemudian ada kumpulan yang menawarkan air panas dari termos. Ia pelbagai jenis termasuk Qqhwah, shai, shai halep dan nescafe. Mereka berjalan dari satu saf ke satu saf dengan senyuman terukir di bibir. Ada pula kumpulan mengagihkan pelbagai roti arab.

Rakan di sebelah saf saya berasal dari Turki. Beliau mengeluarkan sebekas kecil berisi buah-buah zaiton berwarna  hijau dan hitam. Kami berkomunikasi ibarat ayam berbicara dengan itik. Namun lebih ketara terbit rasa kasih-sayang melalui wajah dan bahasa badan. Orang-orang Turki sentiasa bersikap peramah dan ceria. Mereka terkenal begitu.

 

 
Melihat buah-buah zaiton tersebut menyebabkan saya terkenang seorang rakan bernama Noor, Beliau berasal dari Sham (Syria). Kami sama-sama bertalaqi al-quran di masjid Nabawi. Noor gemar membawa buah zaitoon ke dalam masjid untuk berbuka puasa pada hari Isnin dan Khamis.

Buah zaitoon mengingatkan saya kepada kampong halaman di Sham. Kampung kami terletak  berhampiran pergunungan. Setiap keluarga kebiasaannya menanam sebatang pokok zaitoon di halaman rumah. Datuk saya pernah memiliki ladang zaitoon yang luas suatu ketika dahulu. Namun, sedikit demi sedikit Tanah kami di rampas ...

Beliau bercerita bagaimana mereka sekeluarga dan seluruh penduduk kampong bersama-sama memetik buah-buah zaitoon apabila sampai pada musimnya. Ia musim bergotong-royong. Usai sebuah kebun mereka akan membantu memetik zaitoon di kebun jiran-jiran pula. Ia umpama sebuah festival.

Beliau teringat kenangan manis semasa memanjat pohon-pohon zaiton yang rendang bersama rakan sebaya. Terkenang abang-abang yang gemar menyakat adik-adik perempuan dengan mengalihkan tangga-tanga dari pohonnya. Lalu mereka terperangkap di atas pokok-pokok yang tinggi berjam-jam lamanya.

Menurut Noor, apabila pergolakan melanda Sham, kehidupan mereka berubah. Ramai keluarga keluar berhijrah termasuk ibubapa mereka. Beliau di hantar ke Jordan manakala abang-abangnya ke Lebanon. Di sana mereka ditumpangkan di rumah saudara mara.

Kemudian, ibubapa mereka kembali ke Sham bagi menjaga datuk dan neneknya. Datuk membantah perbuatan ibubapa Noor malah berkeras dan enggan ke mana-mana.
Pergilah kamu ke merata dunia. Kami tetap akan mempertahankan pokok zaiton ini sekalipun tinggal sepohon sahaja ...
Air mata Noor pasti tergenang apabila bercerita tentang keluarganya. Barangkali beliau masih terkenang-kenang zaman manis ketika kanak-kanaknya. Malahan kami juga turut terkesan apabila Noor membaca surah al-Noor dengan penuh sayu pilu. Firman Allah bermaksud:

 
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayat petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayat yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya.

Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayatNya itu dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

(Terjemahan surah al-Noor ayat 35)

Noor tersedu apabila sampai kepada ayat tersebut. Barangkali beliau bukan sahaja terkenang kenangan bersama pohon-pohon zaiton tetapi ketika berkumpul bersama keluarga. Ia kisah yang berbelas tahun telah di tinggalkan. Selama itu juga beliau tidak bertemu abang-abang dan datuk neneknya.


Kali terakhir beliau kembali ke kampong halaman, khabar menyatakan abang-abangnya kini mengusahakan kilang minyak zaitoon di Lebnon. Datuk dan neneknya telah lama meninggal dunia. Luluh hatinya melihat keadaan penduduk kampungnya yang miskin semakin hidup melarat.

Bertambah luluh apabila bapanya berkata;
Perusahaan buah zaitoon Syria semakin tidak menjadi ... merosot dari setahun ke setahun. Ramai yang merempat di Tanah air sendiri.

Kini bapanya menjadi pemetik buah-buah zaiton di sempadan Jordan atau di Lebanon apabila sampai musimnya. Diam-diam Noor mengesat air mata yang mengalir perlahan-lahan di pipinya.

Subhanallah!
 

1 comment:

  1. Mna lanjutannya puan ,, dah lama saya follow ,, Puan ada fb x

    ReplyDelete