Wednesday, July 22, 2015

SEBISA ULAR

Pagi itu kami melihat masjid al-Nabawi dipenuhi dengan jemaah dari Turki. Berhampiran mereka terdapat kumpulan bertelekung putih. Di belakang kepala telekung bertulis ماليزيا .

Entah mengapa ketika bermukim di bumi kesayangan Rasulullah SAW hati terasa girang setiap kali melihat kehadiran mereka. Hati terus berkata:
Musim umrah telah bermula!
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar!


Suasana Masjid Nabawi sebenarnya berbeza-beza mengikut keadaan. Suasana paling sesak ketika musim haji, musim cuti persekolahan dan pada bulan Ramadhan. Pada ketika lain saf-saf di dalam masjid sebenarnya hanya di sekitar beberapa saf-saf hadapan. Itulah suasananya jika disandarkan kepada kehadiran penduduk tempatan. Ada kalanya hati berkata;
Apakah ahli Madinah tidak berminat untuk beriktikaf dan solat berjemaah di masjid Nabi?
Alhamdulillah ... kami dianugerah Allah kerana mempunyai parkir kereta khas di Masjid Nabawi. Ia petak letak kereta yang di sewa secara tahunan. Namun hati sayu melihat hanya 20 - 30 buah kereta sahaja yang hadir ketika menunaikan solat subuh. Kawasan yang boleh memenuhi 220 kereta kelihatan sunyi sekali.

Di mana pemilik kereta menunaikan solat agaknya?

Alhamdulillah! Sepanjang bulan Ramadhan, masjid Nabawi sangat berbeza. Hampir seluruh kawasan masjid dan luar masjid penuh sesak dengan jemaah umrah dari seluruh pelosok dunia. Sebagaimana musim haji, jemaah umrah datang dengan kenderaan pelbagai. 

Ada rombongan jemaah dari Mesir, Lebnon, Syria dan Jordan datang dengan menaiki bas. Jemaah dari Qatar, Bahrin dan United Arab Emarates (UAE) hadir menggunakan kenderaan pacuan empat roda. Jemaah Sudan pula menyeberang melalui kapal laut. Ramai juga jemaah dari India, Pakistan dan Afrika. Lalu, benarlah firman Allah dalam surah al-Hajj, ayat 27 yang bermaksud,


Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

Namun, masjid kembali kosong di bulan Syawal. 


Benar-benar terasa lengang. Hati diri dan ruang masjid. Sungguh benar. Rupa-rupanya jemaah luar yang mengimarahkannya. Di waktu iftar pula beberapa penduduk tempatan beria-ia memujuk agar jemaah berbuka puasa sunat Isnin dan khamis di saperah mereka.
 
Suatu pagi, ketika kaki melangkah ke ruang Raudhah, mata terpandang sekumpulan pekerja pembersihan (cleaner) di beri taklimat oleh pegawai bertugas. Wajah petugasnya bertutup niqab.
 
Begitulah kebiasaannya ... pegawai  bertugas di masjid Nabawi tidak sekali-kali mempamerkan wajah mereka walaupun sesama wanita. Bagaimanakah wajah mereka, warna kulit dan asal keturunan ... menjadi rahsia.
 
Namun, telinga ini mendengar suara yang tidak asing memberikan taklimat dalam loghat Melayu-Indonesia. Fikiran saya melayang jauh. Jika benar jangkaan, saya pernah bersua dengan pemilik suara tersebut ketika hari pertama mendaftarkan diri di Universiti Taibah. Hati berbisik lagi;
Mungkinkah itu ibu Suraya? Apakah beliau sudah tidak bertugas lagi di universiti dan beralih menjadi pegawai di masjid Nabawi?
Masya Allah Tabarakallah! Jika benar,  sungguh beruntungnya beliau. Memang itu nikmat kurniaan Allah yang tidak dapat didustakan. Mengapa tidak ... bertugas di masjid Nabawi tambahan pula dalam taman syurga - di Raudhah!
Dalam berbagai bangsa ciptaan Allah - beliau satu-satunya bangsa Asia Tenggara yang ditugaskan di situ.
 Getus hati girang berbaur cemburu!
 
Dalam masa yang lain, saya bertembung pula dengan rakan sejawat seuniversiti. Beliau telah lama bertugas dan paling rapat dengan ibu Suraya. Dalam riang gembira saya menyampaikan berita bagi pengesahan. Tanpa prajudis saya berkata;
Kelmarin saya mendengar seakan suara ibu Suraya memberikan taklimat di ruang sekitar Raudhah. Masihkah beliau mengajar di universiti Taibah?
 
Rakan itu terdiam.
 
Saya tidak dapat membaca riaksi wajahnya di sebalik niqab. Namun ada sesuatu dapat di baca melalui dua anggota. Dari matanya beliau merasa tidak selesa. Dari bahasa badan beliau kelihatan resah gelisah. Akhirnya beliau bersuara separuh berbisik. Katanya;  
Ya Raudhah. Lain kali kamu harus berhati-hati dengan siapa mahu berkata-kata terutamanya di universiti. Bangsa Arab memiliki wajah dan hati yang tidak sekata. Masih ada bersikap seperti orang musyrik zaman dahulu kala.

 Katanya."Jika terserempak ular berbisa ... pasti ia di palu bertalu-talu kerana kamu tahu akibat patukan dari bisanya. Tetapi ... bagaimana kamu membaca hati manusia?"
 
Saya kebingungan.
 
Beliau cuba menyampaikan sesuatu secara berkias. Kiasan bangsa Arab barangkali. Rupanya begitu halus dan mendalam. Kata-katanya menggamit perhatian. Lalu saya terkenang sikap orang-orang musyrik yang sering di sebut-sebut di dalam Quran.
 
Diam-diam saya membaca sikap dan budaya bangsa itu. Diam-diam saya mencari jawapan ...
 

 
 
 
 
 

 

No comments:

Post a Comment