Saturday, July 4, 2015

TERKENANG KATAYEF

Ramadan di Madinah nyata berbeza.

Suasana begitu hening selepas subuh. Persekitaran rumah kami di Pembandaran Jabal Uhud ibarat tiada penghuni. Mereka mati sementara setelah berjaga sepanjang malam. Ilmu pertama yang melekat di minda, "jangan membuat panggilan telefon kepada orang Arab pada ketika ini".

Mereka tidak mahu diganggu! 


Suasana malam luar biasa. Mereka berjaga terutamanya di bulan Ramadan. Malah di malam harilah banyak kegiatan lain dilakukan seperti beriadah, makan-makan bersama keluarga dan rakan-rakan. Kaum wanita pula membeli belah di gedung ternama usai solat terawikh.

Ramadan bulan sibuk di masjid dan di pasar!




Saya menimba ilmu kedua. Ramadan menjadikan bandaraya Madinah lebih sibuk di luar kawasan Masjid Nabawi yang sentiasa sibuk hampir sepanjang tahun. Manusia penuh sesak dengan pelbagai kegiatan di waktu malam.

Malahan ... bulan Ramadan terasa lebih meriah berbanding malam-malam sebelumnya terutamanya di kedai-kedai dan kompleks membeli-belah. Di sepanjang jalanraya dihiasi dengan neon-neon yang bergemerlapan.

Ramadan Kareem. Ramadan Mubarak!

Begitulah bahasa pemidang besar tertulis di kedai-kedai dan di sepanjang jalan. Memang mengujakan mata dan perasaan.
 
Namun, kami lebih gemar ke pasar atau ke kedai selepas waktu dhuha. Kedai kosong dan lenggang. Hanya pekerja (orang luar) yang sibuk menguruskan perniagaan tuan mereka. Ketika itulah kami membeli keperluan dapur. Ia saat aman dan mendamaikan.
 
Pandangan di sebelah tengahari menghala ke petang lebih menarik. Di salah sebuah kedai roti dan pasteri, saya terlihat barisan panjang. Kebanyakan mereka seperti orang biasa-biasa. Barangkali mereka membeli untuk tuan mereka. Kuih yang dibeli pula berkilo-kilo banyaknya.
 
Mata memerhati tajam. Teruja dan ralit melihat bagaimana pekerja menuang cairan (batter) dari cerek ke atas kuali leper. Rupanya seakan lempeng kecil (pancake). Barangkali ia tentu sedap jika di makan panas-panas. Namun hati berdetik ...."kenapa mereka menjualnya begitu awal? Bukankah lebih baik jika ia di masak beberapa jam sebelum berbuka?."  

Katayef ... Katayef ... baru masak.
Pembantu kedai berteriak sambil menjeling ke arah saya. Barangkali beliau tersedar mata saya kusyuk memerhatikannya dari dalam kereta. Lalu saya alih pandangan ke arah bertentangan melihat sama ada suami sudah selesai urusan di bank yang berhampiran.
 
Begitulah ... wanita jarang berurusan di luar - sama ada ke pasar, kedai runcit, roti apatah lagi ke bank. Biasanya hanya wanita berumur yang keluar - itupun jika terdesak. Kerja-kerja luar hampir keseluruhannya dilakukan oleh kaum lelaki.
 
Tiada  keperluan bagi wanita untuk bertegur sapa dengan lelaki selain dari mahram mereka. Mereka harus ditemani mahram sekalipun mahu bertemu dan makan-makan bersama rakan-rakan. Mahram biasanya menghantar dan menjemput mereka dalam masa yang ditetapkan.
 
Satu petang kami dijemput makan malam di rumah sahabat - Sheikh Khalid dan Iman -  berketurunan Palestine. Beliau sekeluarga agak rapat dengan keluarga kami. Anak mereka lebih kurang sebaya Amirul  dan Sofea. Tambahan pula apabila beliau mengetahui Azrai  yang sedang bercuti semester universiti mahu menziarahi kami.

Bring Azrai from airport straight to our house. Everybody must come!

 
Beliau memberi arahan menggunakan bahasa Inggeris pasar namun boleh dan mudah difahami. Bagi orang Barat ia kelihatan seperti ayat perintah serta agak kasar. Namun, kami tahu keikhlasan hatinya. Setelah beberapa kali di jemput makan di rumah, kami menghargai kesungguhan sahabat kami ini melayani tetamu.

 
 
Usai menikmati nasi Palestine, isterinya mengeluarkan katayef. Katayefnya berbeza kerana sudah berinti kekacang (pistachio, walnut, badam, hazel) dan keju. Kemudian di goreng garing. Katayef ini kemudiannya di sira dengan air gula yang pekat. Sheikh Khalid menyebut,

Tafadhal ... tafadhal ... tafadhal ... Katayef normaly available during Ramdhan. This desert is very popular in Palestine, Syria and Jordan.  Kataeyf  always remind my childhood time in Bilad as-Sham.

 
Wajah redupnya memandang kuih manis yang menyelerakan. Jauh dan dalam sekali renungannya. Beliau seolah-olah mahu menceritakan sesuatu tetapi ada sesuatu yang menghalang.

Kami menunggu apa yang mahu dikongsikannya ....

No comments:

Post a Comment