Thursday, July 9, 2015

ZA'ATAR

Sheikh Khalid dan Iman - sahabat Madinah - sering bercerita yang kebanyakan orang-orang Jordan, Syria, Lebnon dan Palestine asalnya dari keturunan yang sama. Lalu budaya kehidupan mereka seragam atau seiras. Maka tidak hairanlah jika jenis masakan juga tidak jauh berbeza.
During our childhood time ... we're just like brothers and sister. There is no borders.
Dulu, mereka bebas keluar masuk dari satu negeri ke satu negeri tanpa masalah. Langsung tiada sekatan di sempadan. Mereka tidak pernah menyimpan perasaan curiga sesama sendiri. Khalid bercerita,
 
Tinggallah berapa lama sekali pun. Berniaga dan bekerjalah apa sahaja yang boleh menampung keperluan hidup. Sesiapa yang berusaha keras - dengan izin Allah - akan memperolehi ganjarannya.  
 
Keluarganya berhijrah meninggalkan Palestine kerana pergolakan yang sering berlaku ketika usia remaja. Walau pun sedih, sebak dan berat hati meninggalkan Palestine, bapanya mahu menjaga kepentingan dan keselamatan keluarga. Namun, masih ada sanak saudara yang tidak mahu berhijrah. Mereka masih memiliki tanah dan kedai-kedai lantas mahu bertahan di tanah tumpah kelahiran. 
My father said Allah SWT will give us "rezki" where ever we live in this world. We migrated to Saudi Arabia and stay in Abaha. When I was 10 years, he teaches me to drive his car.
Wajah Sheikh Khalid yang muram sugul tiba-tiba berubah ceria. Barangkali gelihatinya mengenangkan bagaimana bapa beliau tergamak mengajarnya memandu kereta ketika masih budak-budak lagi. Kata bapanya barangkali ada keperluan jika terdesak bagi menghantar ibu atau kakaknya ke pasar atau ke hospital.

That's why you can see ... all Saudis drive like crazy. Their physical already changed but not their driving style. Still like a ten year old boys!

Beliau bersungguh-sungguh tertawa. Bagaimanapun kesenangan yang dikecapi sekarang bukan bermakna beliau melupakan sanak-saudara yang masih di Palestine. Kata beliau saban tahun, ibubapa saudara yang masih hidup di Palestine berusaha menziarahi beliau terutamanya di akhir Ramadan. Ada masanya mereka menunggu merayakan 1 Syawal bersama.

Rakyat Palestine kebanyakannya miskin. Bagaimanapun ... setiap kali kunjungan, mereka pasti membawa buah tangan. Iman, isteri Sheikh Khalid terus ke dapur bagi menunjukkan sejenis daun yang hanya terdapat di pergunungan Palestine.  Bagi rakyat Palestine ia daun serbaguna yang dianugerahkan Allah SWT kepada mereka.


Daun itu direbus sehingga menggelegak. Kemudian di minum. Ia digunakan sebagai rawatan dalaman berkaitan perut - sakit perut, senak, angin dan rawatan selepas bersalin. Iman bersungguh bercerita,
 
Orang Palestine hidup dengan dua jenis daun. Pertama, daun penyembuh sakit perut dan kedua daun rempah Za'atar.




 
Campuran rempah za'atar (oregano) digunakan dalam kebanyakan jenis masakan. Ia dimasukkan dalam makanan sama ada menggunakan daun segar atau yang telah dikeringkan. Sebentar kemudian, Iman kembali ke dapur sekali lagi. Kali ini beliau mengeluarkan sejenis roti leper (umpama pizza) yang disapu minyak zaiton serta di tabur Za'atar.

Roti za'atar. Aromanya menangkap urat saraf!
 

Sambil menikmati roti za'atar "panas-panas" kami mendengar bagaimana keperitan yang dialami oleh rakyat Palestine. Namun, menurut Sheikh Khalid rakyat Palestine - secara hakikatnya - tidak memerlukan bantuan luar - kerana sejak kecil mereka menyiapkan diri untuk mati syahid. Malahan wanita dan kanak-kanak Palestine sendiri begitu berani menghadapi askar Yahudi.

Kami menyatakan simpati lalu berkata:
Rakyat Malaysia ada dan sentiasa menyediakan tabung kutipan bagi membantu rakyat Palestine.
Sheikh Khalid menerangkan, sanak-saudara beliau terutamanya di Gaza memang terdengar banyak kutipan atau tabungan untuk mereka tetapi sudah tidak lagi mengharapkannya. Selama ini - malah sehingga kini - jumlah kutipan bagi tabungan itu hanya sedap di dengar telinga. Hakikatnya mereka tidak pernah mendapat sebarang bantuan kewangan seperti yang digambarkan.

Lalu, kami terkenang bagaimana kesukaran melepasi sempadan dialami oleh seorang rakan yang bermukim di Jordan. Berjam-jam beliau terpaksa menunggu pemeriksaan di sempadan Jordan-Palestine.

Beliau pernah diminta oleh askar Yahudi supaya membuka pakaian dan diperiksa seluruh badan. Namun, kuasa Allah, askar Yahudi tidak dapat mengesan  sejumlah USD10,000 tersembunyi di dalam setokinnya.
Bukan mudah untuk menghantar bantuan kewangan. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana pertubuhan tertentu mendakwa membuat kutipan untuk disalurkan kepada rakyat Palestine.

Seorang rakan yang bermukim di Dubai dan mempunyai firma guaman di sana juga pernah meraguikan tentang saluran tabungan kepada rakyat Palestine. Sambil berseloroh, rakan itu bercerita tentang pengalaman beliau mengendalikan kes-kes tertentu di Negara Timur Tengah.
Bagi saya ... mereka yang menipu tabungan rakyat Palestine sebenarnya merupakan orang Palestine juga. Rakan guamannya dari Mesir berkata jika kamu berada di padang pasir lalu terserempak dengan seekor ular dan orang Palestine ... bunuhlah orang itu!

Beliau tertawa terbahak-bahak sambil bercerita. Jenaka seperti itu biasa kedengaran apabila memperkatakan sesuatu bangsa. Orang Palestine juga mempunyai jenaka tentang orang Mesir.
 
Lalu kami turut tetawa tanpa memahami maksud tersirat di dalamnya. Ia berlalu begitu sahaja kerana pengalaman kami dengan keluarga Khalid dan Iman nyata berbeza.

Entah ... kami masih berharap ia hanya cerita yang tidak dapat disahkan. Pertolongan Allah SWT ada caranya. Moga dipermudahkan kehidupan mereka di sana.

Namun ada sesuatu yang pasti ... setiap kali kami terpandang perkataan Palestine tentunya kami terkenangkan Iman, Fady, Lara, Ahmudi dan ketua keluarganya Sheikh Khalid. Mereka keluarga baik yang pernah singgah dalam hidup kami.
 
Subhanallah .... kami mengenali Za'atar melalui hubungan kekeluargaan di Madinah. Ia ada makna mendalam.

Allahu Akbar!
 

No comments:

Post a Comment